Oleh Fala Pade
Kuih Cina, tetapi bukan buatan masyarakat Cina. Itulah keunikan kuih Cina yang terdapat di Sarawak. Kuih Cina ialah biskut tradisional buatan masyarakat Melanau yang enak. Kuih ini dihasilkan secara tradisional dan menggunakan ekstrak daun pandan yang menyelerakan. Banyak pembuat kuih Cina berasal dari daerah Dalat, Sarawak.
Menurut sejarah, kuih Cina dihasilkan sejak turun-temurun oleh kaum Melanau. Kuih ini menjadi kuih tradisional yang dihidangkan pada setiap kali musim perayaan. Dalam majlis perkahwinan, kuih Cina turut menjadi hidangan wajib kepada tetamu yang datang.
Keenakan kuih Cina tersebar luas di Sarawak. Hal ini menjadikan banyak usahawan kuih Cina muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hari ini produk kotej ini dijual dengan harga RM1 hingga RM2 sebungkus. Setiap bungkus mempunyai enam biji kuih Cina. Kebiasaannya, kuih Cina dijual di pasar kering serta pasar tamu, khususnya sekitar Mukah, Sibu, Bintulu, Miri dan Kuching.
Menurut seorang pengusaha Kuih Cina, Mero Jaya, sambutan terhadap kuih Cina semakin hari semakin meningkat. Keenakan kuih Cina yang dihasilkan menggunakan tepung beras sebagai bahan utama telah meningkatkan jumlah permintaan terhadapnya. Secara puratanya, Mero menerima tempahan sebanyak 5000 hingga 6000 bungkus sebulan. Pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, Krismas dan Pesta Kaul Muka, tempahan untuk kuih Cina meningkat kepada 12 000 bungkus.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Budaya Februari 201